![](http://1.bp.blogspot.com/-GaqdogAgngM/UleacsQoFQI/AAAAAAAAIkc/34zjqHVam8Y/s1600/PM-Libya.jpg)
Tripoli – Perdana Menteri Libya, Ali Zeidan yang diculik dari hotelnya di sini pada awal semalam oleh lelaki bersenjata dan dibawa ke satu lokasi tidak diketahui, sudah dibebaskan selepas enam jam ditahan.
“Perdana Menteri sudah dibebaskan,” kata seorang pegawai kerajaan dan sumber keselamatan.
Kejadian itu berlaku lima hari selepas komando Amerika Syarikat memalukan dan menaikkan kemarahan kerajaan Libya dengan menangkap suspek orang kanan al-Qaeda, Abu Anas al-Libi di jalanan di sini dan melarikannya ke dalam sebuah kapal perang.
Satu sumber dalam pejabat perdana menteri berkata Zeidan diculik dari Corinthia Hotel di sini, di mana beliau tinggal.
“Sekumpulan lelaki bersenjata memasuki kawasan itu pada awal semalam. Namun, kami tidak tahu apa yang berlaku,” kata seorang pekerja hotel.
Menteri Kehakiman Salah al-Marghani mengesahkan maklumat itu.
Dua tahun selepas revolusi yang menggulingkan diktator Muammar Gaddafi, pihak berkuasa baru negara itu bergelut untuk mengekang puak militia dan kumpulan bekas pemberontak yang menerajui kebangkitan.
Kerajaan mengesyaki dua kumpulan bekas pemberontak, Badan Revolusi dan Briged Perjuangan menentang Jenayah, menjadi dalang penculikan.
Kabinet dan Kongres Awam Nasional Libya menguruskan situasi itu dan menggesa rakyat bertenang.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Jennifer Psaki, yang melakukan lawatan bersama Setiausaha Negara John Kerry di Brunei berkata, Washington mencari lebih banyak maklumat.
“Kami sedang meneliti laporan dan berhubung rapat dengan pegawai kanan Amerika dan Libya,” katanya kepada media.
“Kami sedang mendapatkan lebih banyak maklumat. Kakitangan kedutaan kami selamat di Tripoli.” – AFP
0 komentar:
Posting Komentar